Polis tahan lelaki memandu secara berbahaya di Titwangsa

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Seorang lelaki yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau ditahan selepas cuba melarikan diri dengan memandu secara berbahaya di Jalan Ayer Embun, Titiwangsa di sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji berkata dalam kejadian pada 12.15 tengah malam itu, sepasukan anggota Balai Polis Jalan Tun Razak sedang melakukan rondaan sekitar Taman Tasik Titiwangsa, sebelum melihat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier yang diparkir dan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuantan.

“Ketika anggota menghampiri kenderaan tersebut, suspek bertindak melarikan diri dengan memandu secara agresif dan berbahaya sejauh dua kilometer sebelum berhenti di Jalan Ayer Embun.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 30an ditahan manakala rakannya melarikan diri dan kejadian itu menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan dan gerai di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata semakan mendapati kenderaan SUV itu dilaporkan hilang serta menggunakan nombor pendaftaran palsu dan polis turut menemui beberapa barang disyaki hasil kegiatan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menakutkan penjawat awam ketika menjalankan tugas, Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) serta Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (gagal mengemukakan pengenalan diri semasa pemeriksaan dilakukan).

Pemilik gerai dan kenderaan dilanggar SUV suspek serta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, ASP Chew Lai Chang di talian 012-2749097 atau pengawai penyiasat, Insp Abdul Hakeem Abdullah (012-9225687 ) bagi membantu siasatan serta boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Kuala Lumpur (03-2146 0584/0585) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini sebuah video berdurasi sembilan saat memaparkan kenderaan SUV itu merempuh sebuah gerai sebelum melarikan diri dengan memandu secara berbahaya dipercayai di sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

17

Share and Enjoy !

Shares
Previous post PRN Johor: BN raih 43.11 peratus undi popular, PN atasi PH
Next post Melaka Week misi pelaburan terbesar Sulaiman