Polis tempatkan 238 PPS di semua sekolah rendah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BATU BERENDAM 1 Mac – Polis Melaka menempatkan 238 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menerusi program 1st Day At School bagi murid Pra Sekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di negeri ini berjalan lancar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, semua PPS yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan berada di 238 sekolah rendah di negeri ini bagi memantau semua sekolah di Melaka mematuhi SOP itu.

Katanya, program 1st Day At School merupakan program kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk menyantuni pihak pengurusan sekolah, ibu bapa dan murid- murid di sekolah selain meningkatkan keyakinan ibu bapa tentang keselamatan anak-anak yang hadir ke sekolah.

“PPS ini akan memantau di setiap sekolah yang ditetapkan secara berkala namun pada hari pertama persekolahan menerusi program 1st At School, kita membuat pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan semua SOP dipatuhi supaya murid berada dalam persekitaran yang selama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan SOP di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam di sini hari ini yang turut dihadiri Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (HEM) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Khairul Anuar Yaakup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 144 daripada 238 jumlah sekolah adalah terdiri daripada SK manakala 65 adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 21 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta satu SK Khas 1 Sekolah Rendah Agama.

Tinjauan Melaka Hari Ini di SK Batu Berenam mendapati ibu bapa mula menghantar anak-anak yang bersekolah di pra sekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua pada seawal jam 7 pagi.

Gelagat semua murid di sekolah berkenaan dilihat lebih teruja dan bersemangat untuk memulakan persekolahan selepas lebih sebulan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan ditunda susulan peningkatan kes COVID-19.

Untuk rekod, seramai 33,846 murid sekolah rendah di Melaka memulakan sesi persekolahan hari ini.

Daripada jumlah itu, 5,357 adalah murid pra sekolah, manakala 14,589 adalah murid Tahun Satu dan 13,900 adalah murid Tahun Dua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post Data peribadi penerima vaksin tidak dikongsi dengan syarikat pengeluar
Next post Kakitangan awam Melaka saksikan amanat Perdana Menteri
Ubah saiz-+=