Portal U-Pustaka mampu tarik orang ramai membaca atas talian

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BUKIT BARU 22 April. – Perkhidmatan U-Pustaka yang mengandungi 52.9 juta bahan digital untuk diakses sebagai bahan rujukan dan bacaan mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk mengamalkan sifat membaca.

Pengarah Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammudy Mohamed Idris berkata, pihaknya mengakui keahlian dan kehadiran pengunjung semakin berkurang susulan pandemik COVID-19 berikutan tidak dapat bergerak secara meluas untuk mengadakan kempen galakan membaca.

Katanya, dengan adanya perkhidmatan portal itu, orang ramai boleh mengakses pelbagai bentuk bahan bacaan secara atas talian dengan keahlian percuma.

MUHAMMAD Jailani (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Muhammad Aizammudy (kiri) selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit peringkat negeri Melaka di PERPUSTAM di sini hari ini.

“Ahli U-Pustaka boleh meminjam buku secara fizikal dengan menempah buku berkenaan daripada 12 Perpustakaan Konsortium U-Pustaka dan akan dihantar ke rumah menggunakan perkhidmatan pos laju dengan kadar berpatutan.

“Selain itu, portal berkenaan menyediakan akses kepada bahan digital yang merangkumi buku audio, buku elektronik, majalah, jurnal, surat khabar elektronik dan pangkalan data serta penerbitan kerajaan, yang kesemuanya boleh diakses secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit peringkat negeri Melaka di PERPUSTAM di sini hari ini.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Mohamed Aizammudy berkata, perkhidmatan portal itu mengandungi 52.9 juta bahan digital dan bahan itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya, perkhidmatan portal itu banyak membantu untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat yang sekarang ini terkesan untuk mendapatkan bahan fizikal di perpustakaan.

“Memang tidak dinafikan terdapat pengurangan dari segi untuk meningkatkan jumlah keahlian dan kehadiran berikutan pandemik COVID-19 kerana tidak dapat melakukan kempen promosi serta membuka perpustakaan untuk kehadiran umum dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan rekod, jumlah ahli baharu Perpustam pada tahun lalu menurun kepada 7,503 berbanding 23,733 pada 2019.

“Manakala bagi jumlah pinjaman buku juga menurun kepada 229,873 pada tahun lalu berbanding 482,737 pada 2019,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post Syukur terima sumbangan kit makanan dari MPHTJ
Next post Tunku Zahrah nama puteri kedua TMJ
Ubah saiz-+=