PPK tamat tempoh, empat syarikat sub kontraktor diarah henti kerja

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KOTA LAKSAMANA: Padah masih menjalankan kerja dan penyelenggaraan walaupun Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) sudah tamat tempoh, empat syarikat sub kontraktor yang menjalankan kerja disebuah tapak pembinaan di Kota Laksamana, di sini, diarah menghentikan kerja serta- merta, hari ini.

Tindakan pihak terbabit dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Tapak Pembinaan yang dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Pengarah CIDB negeri Alinda Puteh berkata, pemeriksaan mendapati PPK kesemua empat syarikat sub kontraktor ini sudah tamat tempoh kira- kira dua bulan lalu.

ALINDA Puteh

“Mengikut Akta 520 CIDB, kontraktor tidak boleh menjalankan kerja sekiranya tidak mempunyai PPK yang sah oleh itu empat Notis Pemberhentian Kerja Pembinaan (Larangan Memulakan dan Meneruskan Kerja Pembinaan) dibawah Seksyen 25(1) dikeluarkan.

“Arahan pemberhentian kerja dikeluarkan berkuatkuasa hari ini dan satu daripada syarikat sub kontraktor terbabit diberikan tawaran kompaun berjumlah RM15, 000 manakala tiga lagi masing- masing berjumlah RM10, 000,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 13 syarikat sub kontraktor juga didapati tidak mengistiharkan projek dan diberikan notis N2/2015 yang mana perlu mengemukakan maklumat dalam tempoh tujuh hari dan boleh dikompaun sehingga RM25, 000 bagi setiap syarikat.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran JKN Anuar Mohd Nong berkata, pihaknya mengeluarkan notis dan amaran bertulis kepada pengusaha gerai makan dan kedai runcit di tapak pembinaan itu selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kedua- dua premis terbabit tidak menyediakan aplikasi MySejahtera, tidak menyediakan buku rekod pelanggan serta tiada menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Oleh itu pengusaha premis diberi amaran bertulis dan tempoh tiga hari bagi menyediakan kelengkapan terbabit sejajar dengan kepatuhan SOP yang telah ditetapkan.

“Malah pihak JKN turut mendapati kawasan penginapan pekerja terdapat bekas- bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk oleh itu tindakan kami mengeluarkan notis perintah pembersihan yang perlu dilakukan dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post OKU rempuh restoran, seorang tukang masak maut, seorang cedera.
Next post Banyak majikan masih berdegil
Ubah saiz-+=