Sorting by

×

PPMSB sasar 16,050 tan metrik pengeluaran sawit

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 22 Ogos – Sebanyak 40 peratus keuntungan dicatatkan Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB) dengan pengeluaran hasil sawit memberangsangkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan sejak April hingga Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, peningkatan dengan rekod 7,469 tan metrik itu pihaknya yakin PPMSB mampu mencapai sasaran pengeluaran sawit sebanyak 16,050 tan metrik menjelang penghujung tahun ini.

Katanya, peningkatan itu juga menunjukkan graf kenaikan keuntungan drastik pencapaian PPMSB berbanding peningkatan hanya dua peratus dalam tempoh Januari hingga Mac lalu membabitkan bajet 4,021 tan metrik walaupun sasaran hanya 4,095 sahaja.

“Bagi tempoh April hingga Julai, hasil pengeluaran merekodkan 7,469 tan matrik sekali gus berjaya mencapai sasaran 5,350 tan metrik.

“Biarpun kita berdepan dengan masalah kekangan pekerja warga asing bagi menjalankan kerja-kerja penuaian dan perladangan kita yakin PPMSB optimis dengan sasaran itu berdasarkan graf kenaikan drastik pencapaian PPMSB berbanding peningkatan hanya dua peratus dalam tempoh Januari hingga Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Bulan Kebangsaan Peringkat PPMSB dan ramah mesra bersama pekerja di Semujuk, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPMSB Muhammad Muhaimin Lau Abdullah.

Menurut Norhizam, pengeluaran hasil sawit di kawasan terbabit hanya mencatatkan lebih kurang 20 hingga 30 tan sehari namun ia berjaya digandakan kepada 70 tan sehari berikutan unjuran masa bekerja selama lapan jam sehari berbanding sebelum ini hanya lima jam sahaja.

“PPMSB sedang mencari tenaga kerja tempatan baharu berikutan kekurangan tenaga kerja warga asing disebabkan pandemik ini.

“Setakat ini hanya 21 pekerja warga asing bekerja di kawasan ini yang terdiri daripada warganegara Indonesia dan Bangladesh bagi menjalankan kerja penuaian kelapa sawit,” katanya.

Views:

379
Kongsi :
Previous post 31 individu terima watikah dan pemakaian pangkat APM
Next post Gondola kedua terbesar Asia bakal dibina
Ubah saiz-+=