
PPSPM BAWA POTENSI PELANCONGAN SUNGAI MELAKA KE PENTAS ANTARABANGSA
BANDARAYA MELAKA 25 Jun – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) perluaskan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi Program Temu Bisnes sempena Pertemuan Tim Teknik dan Persidangan Ke-22 Jawatankuasa Pembangunan Sosio-Ekonomi Sempadan Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO) Melaka/Johor – Kepulauan Riau/Riau 2026 di Batam, Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, penyertaan itu membuka ruang kepada PPSPM mempromosikan produk pelancongan Sungai Melaka kepada pemain industri pelancongan Indonesia.
Katanya, persidangan yang berlangsung dari 22 hingga 25 Jun itu menghimpunkan delegasi Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam sektor ekonomi, pelaburan, pelancongan serta pembangunan komuniti.
“Penyertaan ini dilihat selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperluaskan pasaran pelancongan Melaka menerusi kerjasama rentas sempadan yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri ini.
“Selain memperkenalkan potensi pelancongan sungai dan pantai, PPSPM turut meneroka peluang kolaborasi baharu dalam pembangunan ekonomi komuniti, pertukaran kepakaran serta pelaksanaan produk pelancongan yang memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Melaka Hari Ini.
Delegasi Melaka diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka Datuk Saiful Hazwa Kipli, manakala Johor diwakili Pengarah Keselamatan Negeri Johor Mohd Hairul Anuar Bohro.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, PPSPM optimis penglibatan dalam persidangan itu mampu menghasilkan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada Melaka, sekali gus memperkukuhkan lagi jenama pelancongan negeri di peringkat antarabangsa.
“Persidangan SOSEK MALINDO juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi serantau melalui perkongsian idea, pelaburan dan pembangunan sektor pelancongan yang lebih mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


