‘PPSPM tak duduk diam’

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Jun – Meskipun berdepan cabaran menanggung kos akibat tidak dibenarkan beroperasi, namun Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) komited untuk mengaktifkan kembali Melaka River Cruise (MRC) dengan rangkaian produk baharu yang lebih menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, mercu tanda pelancongan di Sungai Melaka itu terpaksa beroperasi selama enam bulan tahun lalu dan sebulan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, bantuan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial serta daripada kerajaan negeri sedikit sebanyak membantu keperluan perbadanan itu untuk terus bernafas.

KETUA Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin. Foto fail.

“Dalam tempoh sama (tidak dibenarkan beroperasi), kita juga sedang menyediakan perancangan dari segi pemulihan yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini, namun ia menghadapi kekangan berikutan kes COVID meningkat secara mendadak hingga memaksa sektor pelancongan di negeri ini ditutup sementara.

“Walau bagaimanapun, kita sudah merangka program ke arah pemulihan dan penambahbaikan serta mewujudkan produk baharu supaya apabila sektor pelancongan dibuka semula yang kemungkinan besar pada penghujung tahun ini, sekurang-kurangnya kita sudah ada persiapan awal ke arah itu.

“Dari segi operasi, MRC bersiap sedia untuk meneruskan operasi apabila pandemik telah pulih secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

MELAKA River Cruise

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tidak dibenarkan beroperasi, pihaknya menyediakan program baharu bagi Melaka River Cruise sama ada menampilkan produk baharu mahupun kaedah pemasaran yang lebih besar selain penambahbaikan dari segi fasiliti tarikan pelancongan itu.

“Selain produk MRC akan beroperasi seperti biasa, kita menyediakan ‘Bot Pit-Stop’, yang dipanggil sebagai ‘one ticket’ iaitu produk yang menawarkan perkhidmatan bot dengan harga tiket RM40 sehari bagi membolehkan pelancong ke 14 lokasi jeti dalam fasa satu mengikut permintaan masing-masing.

“Produk kedua dinamakan sebagai ‘Bot Loncat-Loncat’, yang berfungsi seperti teksi iaitu sekiranya pelancong mahu ke destinasi yang diinginkan, tambang yang perlu dibayar menggunakan kad tambah nilai adalah mengikut jarak perjalanan.

“Bagi kedua-dua bot ini, lokasi perjalanan terhad pada fasa satu iaitu di 14 lokasi jeti manakala fasa kedua kita sudah ada enam dan enam lagi dijangka akan disiapkan atau ditambah baik secara berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Murad berkata produk baharu seterusnya dikenali sebagai ‘Love Boat’ atau ‘Bot Cinta’, berkonsep lebih privasi bagi membolehkan pasangan suami isteri atau kekasih atau rakan untuk meraikan hari istimewa seperi hari jadi atau makan malam dan sebagainya.

“Kita menyediakan pelbagai kemudahan sebagaimana permintaan pelancong seperti hiburan ‘busking’, sistem karaoke dan makan malam dalam bot berkenaan, bagaimanapun harga masih belum ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pihaknya sedang merancang pelbagai projek yang dijangka memberikan imej baharu kepada Melaka River Cruise.

Katanya, perancangan itu akan diumumkan kepada rakyat selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Apa yang boleh saya katakan, perkara itu sedang dalam perancangan menyiapkan kertas kerja namun gambarannya, ia membabitkan proses memberi ‘nafas semula’ di kawasan sepanjang Sungai Melaka sekali gus menghasilkan produk baharu yang mampu menjadi tarikan pelancong,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post Sukarelawan kesihatan janji berikan komitmen penuh
Next post Hospital Ampang Berstatus Hospital Rawatan Pesakit COVID-19 sepenuhnya- Pengarah JKNS
Ubah saiz-+=