Premis kilang dibenar anjur solat Aidiladha buat pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 24 Julai – Premis Industri perkilangan di negeri ini dibenar bagi menganjurkan solat Aidiladha sempena perayaan yang bakal disambut hujung bulan ini.

Mufti kerajaan negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu dilaksanakan bagi memberi peluang pekerja asing menunaikan ibadah terbabit sekali gus memberi peluang bagi meraikan perayaan itu di premis masing-masing.

Bagaimanapun katanya, setiap kilang yang mahu menganjurkan ibadah itu perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Mufti Melaka.

“Pekerja asing hanya dibenar menunaikan di premis sekiranya dianjurkan oleh majikan dan tidak dibenarkan untuk menghadirkan diri ke surau atau masjid kerana hanya warganegara sahaja diberi kebenaran.

“Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bagi memberi peluang kepada warga asing untuk bersama-sama mengimarahkan sambutan Aidiladha.

“Perkara ini bergantung kepada inisiatif yang dilaksanakan pihak majikan sendiri dan permohanan perlu dibuat termasuk perlu menyediakan ruang menggunakan kawasan lapang di dalam kawasan kilang,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan di pejabat Jabatan Mufti Melaka di sini tadi.

Pada masa sama, Halim berkata, surau di negeri ini turut diberi kebenaran bagi menunaikan solat sunat berkenaan namun ia perlu melaksanakan permohonan sama pada pejabatnya.

“Setakat ini kami menerima 80 permohonan khas dari pihak surau di seluruh negeri ini dan saya juga mengingatkan orang ramai untuk menjadi lebih bijak dalam menormalisasikan norma baru ini sepanjang perayaan termasuk hanya mengagihkan daging dari rumah ke rumah.

“Manakala, mereka yang ingin menunaikan solat di rumah pula perlulah memastikan jumlah seisi keluarga tidak melebihi had maksimum 20 orang seperti yang disarankan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP),” katanya.

Views:

293
Kongsi :
Previous post Pokok akar serabut punca banjir kilat
Next post Melaka perincikan manfaat Kad Peduli Sihat biarpun dihentikan
Ubah saiz-+=