PRN Johor : BN akan fail petisyen bagi DUN Bukit Batu

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI SIPUT, 14 Mac – Barisan Nasional (BN) akan memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah berikutan jumlah undi rosak melebihi majoriti yang diperoleh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata kerusi itu yang ditandingi calon daripada MIC, S.Suppayah tewas kepada calon Pakatan Harapan daripada PKR, Arthur Chiong Sen Sern yang memperoleh majoriti 137 undi.

Pada PRN semalam, selain Suppayah, turut tewas dalam pertandingan empat penjuru itu ialah calon daripada Perikatan Nasional Tan Heng Choon dan calon Parti Warisan Lee Ming Wen.

“Kita akan memfailkan petisyen kerana semasa proses pengiraan undi dilakukan, kita mendapati undi rosak jauh lebih tinggi daripada majoriti iaitu terdapat kira-kira 650 undi rosak.

“Kita sudah membuat bantahan (semasa proses pengiraan undi) tetapi bantahan itu perlu dibuat menerusi saluran yang betul,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Sungai Siput ditemui pemberita selepas program Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di Pusat Khidmat MIC Sungai Siput di sini hari ini.

Pada PRN itu, MIC menang tiga daripada empat kerusi yang ditandingi iaitu di DUN Kemelah, Kahang dan Tenggaroh.

Sementara itu, Vigneswaran berkata kemenangan MIC di tiga kerusi yang ditandingi menunjukkan rakyat sudah menerima kembali dan mahukan BN menjadi kerajaan semula.

“Kita mendapati bahawa undi daripada kaum India telah balik semula ke pangkuan Barisan Nasional, ini bukan lagi satu retorik. Mudah-mudahan kita juga dapat merasai sokongan kaum India untuk Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang manakala tewas di DUN Gambir dan Skudai.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

781
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Kemenangan tambah kesedaran BN bina kecemerlangan
Next post JPS nasihat orang ramai peka, siap sedia hadapi fasa peralihan monsun
Ubah saiz-+=