PRN Johor: Lima ikhtiar BN

Masa Membaca:3 Minit, 35 Saat

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Berikut senarai lima Ikhtiar Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan Pengerusi BN negeri Datuk Hasni Mohammad hari ini.

BN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan 37 calon itu daripada UMNO, MCA (15) dan MIC (empat).

Ikhtiar 1: Kemajuan Ekonomi

1. Mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.
2. Melaksanakan sembilan inisiatif yang bakal melonjakkan ekonomi negeri Johor, antaranya dalam bentuk fasilitasi pelaburan dan pembangunan sosioekonomi daerah mengikut kearifan serta potensi tempatan.
3. Menerusi Johor Niaga, tiga inisiatif utama akan dilaksanakan antaranya pinjaman faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan dengan COVID-19.

Ikhtiar 2: Kesejahteraan Rakyat

1. Dalam masa lima tahun, kesenjangan ekonomi dan pendapatan akan dirapatkan dengan pelbagai bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan.
2. Menerusi Johor Berkebajikan, terdapat lapan inisiatif khusus akan dilaksanakan termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan sebanyak RM3,001 hingga RM7,000.
3. Kos penjagaan anak akan dikurangkan dengan perluasan taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim selain menawarkan yuran penjagaan anak yang berpatutan kepada semua Bangsa Johor.
4. Mengekalkan identiti Bangsa Johor melalui dua inisiatif utama yang bakal dilaksanakan di bawah Johor Berbudaya dan Berkepimpinan.
5. Menegakkan Syiar Islam dan Kemajmukan Johor melalui enam inisiatif antaranya, menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) kepada status kolej universiti.
6. Memperluaskan cukai tanah nominal yang kini diberikan kepada masjid dan surau kepada rumah ibadat bukan Islam.
7. Meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa Johor dengan lima inisiatif utama antaranya memudahcara pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.
8. Penyelenggaraan jalan di kawasan Felda akan diserahkan kepada kerajaan negeri.
9. Meningkatkan kualiti hidup Masyarakat Desa Johor dengan empat inisiatif utama, antaranya meningkatkan kualiti hidup dalam pelbagai aspek sosioekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan modal insan.
10. Melaksanakan Pelan Rejuvenasi Desa Johor secara berperingkat.
11. Mobiliti rakyat akan lebih lancar dan ekonomi semakin berkembang, disokong Infrastruktur Awam Johor moden menerusi empat inisiatif mengintegrasikan Bus Rapid Transit (BRT), Rapid Transit System (RTS) dan Light Rail Transit (LRT) di bawah satu sistem pengangkutan yang tersusun dan dinamik.
12. Tadbir urus Perumahan Johor akan diperkukuhkan lagi dengan dua inisiatif utama termasuk penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor atau Johor Housing Board.
13. Menggiatkan usaha pematuhan ‘Economic, Social and Governance’ (ESG).
14. Melalui Johor Lestari, inisiatif ‘Johor Green Deal’ akan dilaksanakan merangkumi aspek tenaga bersih, pengangkutan dan mobiliti, mitigasi bencana alam dan bandar rendah karbon secara berperingkat dalam masa lima tahun dengan dukungan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak-pihak berkuasa pembangunan wilayah di Johor.
15. Mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan sektor baharu serta menggalakkan penghijrahan semula golongan profesional dari Singapura ke Johor.
16. Johor Kerja akan melaksanakan dua inisiatif besar, antaranya menawarkan 100,000 peluang pekerjaan khususnya bidang pertanian moden, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
17. Menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran berteraskan ekonomi masa hadapan melalui Johor Berkemahiran dengan pelaksanaan tiga inisiatif utama termasuk membudayakan ‘Ekonomi Kreatif, Ekonomi Rakyat’ menerusi pelbagai program sokongan dan geran tahunan.

Ikhtiar 3: Orang Muda Johor (OMJ)

1. Bagi membangun potensi dan mencipta peluang kepada OMJ, enam inisiatif utama akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun antaranya bantuan kewangan tahunan RM500 kepada semua mahasiswa Johor daripada keluarga B40 dan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada OMJ yang layak dengan harga sewa yang amat berpatutan di kawasan-kawasan strategik.

Ikhtiar 4: Pentadbiran Berintegriti

1. Membudayakan Pentadbiran Berintegriti menerusi lima inisiatif utama bagi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban jentera kerajaan dapat dibudayakan secara serius antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wajib untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
2. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan diwujudkan untuk ADUN, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung selain pelaporan secara berkala akan dilaksanakan kepada rakyat sekerap mungkin.

Ikhtiar 5: Reformasi Politik

1. Memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri dengan memperkenalkan enam inisiatif utama dan meneruskan inisiatif Reformasi Politik yang telah dilaksanakan termasuk meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk ADUN kerajaan dan pembangkang dengan sama rata.
2. Memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat dua pertiga, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post DUN Melaka beri penghormatan kepada mangsa gempa Indonesia
Next post PRN Johor: BN komited pacu Johor kembali jadi peneraju utama ekonomi negara
Ubah saiz-+=