PRN Johor: Rakyat tidak perlu takut keluar mengundi – Annuar Musa

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

JOHOR BAHRU, 20 Feb – Rakyat tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan walaupun berlakunya peningkatan kes COVID-19 ketika ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata meskipun terdapat banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh berkempen, namun susun atur proses pengundian dan SOP yang ditetapkan mampu mengawal penularan wabak COVID-19.

“Tidak perlu ada rasa takut dan bila nak pergi mengundi mungkin ada proses ujian kendiri, malah pusat undi ada ruang khusus sekiranya (ada yang) positif (COVID-19)… di peringkat pihak berkuasa telah susun atur mengikut SOP dan norma baharu dalam mengendalikan PRN Johor.

“Insya-Allah, semuanya akan berjalan baik dan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab ketika program Bicara Keluarga Malaysia di Dewan Auditorium RTM Johor di sini hari ini.

Beliau ditanya oleh seorang hadirin mengenai SOP berkempen dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi lebih banyak kelonggaran berbanding PRN sebelum ini walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.

Menurut SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang, manakala bagi kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang.

Mengulas lanjut, Annuar berkata rakyat perlu memahami bahawa negara ini sedang beralih ke fasa endemik yang bermakna kehidupan termasuk sistem demokrasi perlu kembali seperti biasa namun dengan amalan norma baharu.

“Banyak kelonggaran dibenarkan seperti ceramah, kempen dan ziarah rumah ke rumah berdasarkan SOP yang ditetapkan. Ini maknanya kita mesti kembali kepada keadaan biasa tetapi dengan norma baharu dan pilihan raya adalah sebahagian proses dituntut dalam Perlembagaan.

“Sekiranya, berkempen tidak boleh maka cacatlah proses demokrasi itu. Kita perlu bergerak ke arah biasa tetapi dengan norma baharu. Kalau perkara itu difahami maka pengundi tidak perlu takut,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Tujuh lagi Akademi Tunas NFDP akan dibuka tahun ini
Next post Lawatan PM Ismail Sabri ke Thailand dijangka bawa ‘khabar gembira’ – Duta
Ubah saiz-+=