PRN Johor: Salahuddin yakin pengundi DUN Simpang Jeram bijak memilih

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MUAR, 26 Feb – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub menyerahkan kepada pengundi untuk menilai prestasinya sepanjang berkhidmat di kawasan itu sejak hampir empat tahun lepas.

Salahuddin yang merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan calon Pakatan Harapan (PH) yakin pengundi di DUN Simpang Jeram bijak menilai potensinya sebagai wakil rakyat sekali gus membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sebagai penyandang hampir empat tahun, saya telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan saya cuba memberikan segala khidmat kepada rakyat yang memerlukan dan juga menyelesaikan isu-isu tempatan di kawasan DUN Simpang Jeram,” katanya yang ditemui pemberita selepas penamaan calon bagi kerusi DUN Simpang Jeram di sini hari ini.

Salahuddin ditentang calon daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Md Don, Mahaizal Mahmor (Parti Pejuang Tanah Air) dan Zarul@Mohamad Zahrul Salleh (Perikatan Nasional).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Salahuddin yang pernah memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah pemerintahan kerajaan PH memenangi kerusi itu dengan majoriti 7,687 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sementara itu, Lokman, 59, yang merupakan calon muka baharu BN dan anak tempatan berkata beliau yakin mampu merampas kerusi itu dengan memberikan tumpuan kepada pengundi muda susulan pelaksanaan Undi 18.

“Daripada data yang kita ada, pengundi muda ini ramai…untuk itu, saya akan beri tumpuan untuk keperluan mereka serta melahirkan generasi yang mampu meneruskan perjuangan dan aspirasi mereka di DUN ini,” katanya yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Johor.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikemas kini hingga 21 Jan lepas, DUN Simpang Jeram mempunyai seramai 40,014 pengundi.

Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

835
Kongsi :
Previous post Malaysia amat prihatin konflik di Ukraine semakin serius – PM
Next post Gempa bumi sederhana landa Mindanao, Filipina
Ubah saiz-+=