PRN MELAKA: ELAK KONVOI MOTOSIKAL RAI KEMENANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TELOK MAS 14 November – Polis Melaka menasihatkan penyokong parti politik supaya tidak mengadakan konvoi motosikal bagi meraikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, sambutan secara statik lebih digalakkan kerana ia masih membolehkan penyokong menzahirkan sokongan dan solidariti kepada parti masing-masing tanpa mengganggu pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, pihaknya memahami kemeriahan sambutan yang lazimnya diadakan setiap kali pilihan raya, namun ia perlu dilakukan secara terkawal dan tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Kalau hendak meraikan, kita faham ia lima tahun sekali jadi kemeriahan agak lain.

“Bagaimanapun, lebih baik disambut secara statik dan tidak berkonvoi di jalan raya kerana ia boleh menimbulkan kegusaran serta ketidakselesaan orang lain,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkhairi, pihaknya juga meminta kerjasama semua pihak termasuk ketua parti politik supaya menasihatkan penyokong masing-masing agar tidak berkonvoi di jalan raya.

“Kita tahu di Melaka boleh dikatakan hampir setiap hari trafik sesak dan dijangka akan menjadi lebih teruk sekiranya sambutan kemenangan diadakan menerusi konvoi motosikal secara beramai-ramai.

“Untuk itu kita meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk ketua-ketua parti agar menasihatkan penyokong-penyokong supaya tidak merayau di jalan raya.

“Tidak semua yang melanggar undang-undang selain pengikut parti misalnya mungkin mereka terkawal tetapi apabila ada segelintir ‘mat rempit’ dari luar yang datang dan sengaja ikut campur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post ‘TOK AJAK’ TERUJA DUA ANAK ANTARA PENGUNDI MUDA, KALI PERTAMA