PRN Melaka: PH kecewa pengundi tidak lengkap vaksin dilarang mengundi

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan 20 November depan.

Majlis berkenaan menyuarakan rasa kesal di atas pengumuman Pengerusi SPR bahawa hanya pengundi lengkap dua dos vaksin sahaja dibenar keluar mengundi seperti dilaporkan media.

Justeru, pihaknya meminta pihak SPR mengkaji semula pendirian berkenaan bagi memastikan semua warganegara yang layak memilih dibenarkan mengundi pada PRN berkenaan.

“Kami berpandangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

“Sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.

“Kami menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian silap ini, untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu, dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut berpendirian bahawa waktu sekarang bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN.

Ia berikutan kes COVID-19 dalam negara baharu sahaja menunjukkan trend penurunan dan sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula sehingga menimbulkan kerisauan berlakunya gelombang keempat.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, SOP berkempen yang akan diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Walau bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan lain, mereka turut menyatakan sokongan penuh kepada tindakan PH Melaka memfailkan injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

PH mengulangi pendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post SPR nafi tetapkan vaksinasi lengkap pengundi pemilih
Next post Melaka Berselawat sempena Maulidur Rasul
Ubah saiz-+=