PRN Sarawak: GPS menang besar, atasi pencapaian 2016

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KUCHING, 18 Dis – Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 75 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) malam ini, sekali gus membaiki pencapaian mereka sewaktu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRN ke-11 pada 2016.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini hanya mengumumkan keputusan bagi 81 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), apabila keputusan DUN Mulu tidak dapat diumumkan malam ini disebabkan peti undi di kawasan itu tidak dapat dibawa keluar kerana keadaan cuaca buruk, dan mengambil kira faktor keselamatan petugas pilihan raya kawasan berkenaan.

Keputusan di kawasan DUN itu akan diumumkan sebaik sahaja pihaknya menerima peti undi berkenaan.

Kemenangan GPS hari ini juga bertambah manis apabila gabungan empat parti tempatan itu berjaya merampas lima kerusi yang diduduki DAP sebelum ini dan pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada rakyat yang memberikan mandat besar ini.

“Kemenangan besar GPS dalam PRN ke-12 adalah kemenangan rakyat Sarawak khusus dalam meletakkan negeri itu sebagai ‘rakan kongsi wilayah‘ dalam Malaysia,” katanya bagi mengulas kejayaan itu dalam majlis meraikan.

Dalam PRN ke-11, gabungan yang terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memperolehi 72 kerusi DUN.

Untuk pilihan raya kali ini, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak dan Presiden PBB telah berpindah ke DUN Gedong dari DUN Satok sebelum mencatatkan kemenangan selesa mengatasi tiga calon lain.

PBB menyapu bersih kesemua 47 kerusi yang ditandinginya dalam PRN ini sementara rakan komponennya SUPP mencipta kejutan dengan memenangi 13 daripada 18 kerusi yang ditandingi mereka.

Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut mengekalkan kerusi DUN Batu Kawah yang dimenangi pada 2016.

PRS yang memasuki gelanggang pilihan raya kali ini tanpa kepimpinan presiden mereka, mendiang Tan Sri James Masing yang meninggal dunia 31 Okt lepas, turut mencipta kejayaan cemerlang memenangi kesemua 11 kerusi yang ditandinginya.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu bertanding buat kali pertama di peringkat DUN untuk memenangi kerusi Dudong, sambil parti itu meraih kejayaan menang di empat lagi DUN.

Bagaimana GPS gagal untuk menawan DUN Ba’kelalan yang dimenangi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian, yang juga penyandang kerusi itu sejak dua penggal lepas.

PSB pula muncul sebagai kuasa pembangkang baru di Sarawak apabila menang di empat kawasan iaitu Batu Lintang, Engkilili, Bawang Assan dan Ba’kelalan.

Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh mengekalkan kerusi DUN Bawang Assan yang pernah dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2016.

DAP yang sebelum ini mendominasi blok pembangkang negeri sejak beberapa penggal kini hanya mampu mengekalkan dua kerusi, iaitu Padungan yang dimenangi pengerusi negerinya Chong Chieng Jen dan Pending oleh Violet Yong.

Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Amanah Negara, PKR, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), PAS serta kesemua 30 calon Bebas yang turut bertanding dalam PRN kali ini gagal memperolehi sebarang kerusi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak: SPR tangguh keputusan DUN Mulu
Next post UMNO Tangga Batu usul PRU-15 dipercepatkan
Ubah saiz-+=