Produk buatan Malaysia terjual RM1.78 bilion tahun lalu
AYER KEROH 2 April – Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus mendapat sambutan apabila mencatat nilai jualan RM1.78 bilion pada tahun lalu.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, walaupun berdepan pandemik COVID-19, namun ia tidak menghalang nilai jualan produk buatan Malaysia ini terus meningkat terutama membabitkan pembelian secara dalam talian.
Katanya melalui kempen tersebut juga lebih banyak produk yang mendapat penandaan Logo Buatan Malaysia berjaya memasuki pasar raya besar dan premium di seluruh negara, termasuk Sogo dan Suria KLCC.
“Setakat ini kita memang berpuas hati dengan kempen yang dilakukan, walaupun berdepan kekangan dan halangan, kajian mendapati jualan produk kita ada peningkatan dari setahun ke setahun.
“Sebab itu jugalah kerajaan tidak teragak-agak untuk meluluskan bajet bagi KBBM kerana ia terbukti mendapat sambutan daripada rakyat seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kemasukan produk industri kecil dan sederhana (IKS) ke Oppa Mart sempena KBBM peringkat Negeri Melaka 2021, diikuti penyerahan sijil Logo Buatan Malaysia kepada Syarikat Berkat Tuah Foodstuff di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Rosol menyeru lebih ramai pengusaha tempatan memohon penandaan Logo Buatan Malaysia kerana mempunyai banyak kelebihan termasuk mampu meyakinkan pengguna untuk membeli produk buatan mereka serta memudahkan proses mengeksport ke luar negara.
Beliau berkata, setakat Februari lalu pihaknya hanya menerima 1,345 permohonan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.