Program CSR pupuk budaya ‘komuniti untuk komuniti’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 12 Dis – Mana-mana syarikat atau entiti perniagaan di negeri ini digalakkan untuk mempraktikkan konsep perkongsian pintar bersama komuniti, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, kepentingan masyarakat perlu diutamakan menerusi program seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, 17 buah koperasi di negeri ini termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka antara entiti yang telah tampil  menyumbang menerusi program CSR.

Katanya, untuk tahun ini, SKM bersama koperasi tersebut telah menyumbang dana berjumlah RM23,400 bagi pembinaan bilik pengurusan dan mandi jenazah di Masjid Al-Mujib, di sini.

“Apabila koperasi mencatatkan keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan maka lebihan keuntungan dipulangkan semula kepada komuniti dan ini yang kita sebut sebagai ‘daripada komuniti untuk komuniti’.

“Saya juga difahamkan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga tidak mempunyai halangan bagi membenarkan mana-mana pihak untuk menyampaikan sumbangan melalui program CSR di masjid-masjid negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Tanggungjawab Sosial Pembinaan Bilik Pengurusan Dan Mandi Jenazah Di Masjid Al-Mujib, Masjid Tanah, hari ini.

KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melihat Bilik Pengurusan dan Mandi Jenazah Masjid Al-Mujib, Masjid Tanah.

Hadir sama, Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat; Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar; Pengarah SKM Melaka, Mohd Firdaus Shaari dan Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Melaka, Norismawati Jasmani.

Sulaiman berkata, selain SKM, program ini juga anjuran bersama Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Melaka bersama rakan strategik Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Melaka dan Koperasi Melayu Melaka Berhad yang turut sama menjayakan program CSR ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SKM Negeri Melaka menyalurkan sejumlah RM6.46 juta dana yang terdiri daripada geran bantuan dan pembiayaan kepada gerakan koperasi Melaka.

“Semoga dana ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pelbagai aktiviti projek perniagaan dan dapat meningkatkan pendapatan serta keuntungan.

“Diharap juga usaha SKM membantu gerakan koperasi dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi mengaktifkan semula aktiviti koperasi atau meneroka peluang baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post 18 pegawai rendah polis Johor dibuang kerja
Next post SPRM sahkan pegawainya ditahan polis bantu siasatan kes rompakan berkumpulan
Ubah saiz-+=