Program Transformasi GLC berjaya tingkatkan permodalan pasaran GLC terpilih kepada RM386 bilion

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah berjaya meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC terpilih sebanyak 2.9 kali kepada RM386 bilion dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata program itu turut berjaya meningkatkan hasil bersih GLC kepada RM26.2 bilion setahun, selain menambah pulangan pemegang saham kepada 11.1 peratus setahun.

Tengku Zafrul berkata, melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem GLC dalam pembangunan sosioekonomi negara, adalah wajar bagi Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dan GLC untuk terus distruktur dan ditambah baik.

“Dalam perkara ini, kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLIC, terutamanya dalam menceburi industri baru seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.

“Usaha menambah baik ini juga akan dilaksanakan oleh GLC tersenarai melalui Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam yang saya lancarkan pada 2 Mac lepas,” katanya pada majlis pelancaran Hari Terbuka GLC di sini, hari ini.

Hari terbuka GLC yang bermula hari ini hingga 13 Mac, 2022 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kemasukan Malaysia sebagai ahli Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai 18 Mac ini dijangka meningkatkan hasil eskport negara sebanyak RM44 bilion setahun.

Beliau berkata ia merupakan antara petanda yang mencerminkan potensi perkembangan yang memberangsangkan bagi 2022 selain peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April ini.

Katanya kadar pengangguran juga menunjukkan pemulihan kepada 4.2 peratus pada Januari 2022, penurunan 1.1 peratus kepada 680,400 berbanding 687,600 pada Disember 2021.

“Malah, petanda lain adalah minat berterusan daripada pelabur asing yang secara bersih, telah melabur RM3.5 bilion dalam pasaran bon tempatan pada Januari lepas dan RM3.6 bilion ringgit dalam pasaran ekuiti tempatan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Hari Terbuka GLC berkata, kumpulan itu terus menyokong pembangunan negara melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur serta pelaksanaan inisiatif yang memberi impak sosial untuk ahlinya.

“Di samping menyokong pembangunan ekonomi Malaysia, KWSP tetap fokus pada mandat utamanya untuk membantu rakyat Malaysia mencapai simpanan persaraan yang mencukupi dengan memberikan pulangan optimum melalui pengagihan dividen tahunan dan sentiasa berinovasi dalam menawarkan produk dan perkhidmatan,” katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Bhd (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB komited untuk terus mendukung mandat institusi sejak ditubuhkan lebih empat dekad lepas dan kekal sebagai penyumbang utama kepada pembangunan negara seiring pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam pada itu, CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Nik Amlizan Mohamed berkata, ia telah memperhalusi strategi pelaburannya supaya lebih tangkas dan proaktif bagi mencapai pulangan yang optimum serta mampan dan seterusnya membentuk dana persaraan yang lebih teguh.

“Portfolio pelaburan KWAP kekal dengan dominasi 80 peratus pelaburan tempatan dan kami turut memainkan peranan aktif sebagai pelabur utama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post Kerajaan komited pastikan pekerja GLC, GLIC dibayar minimum RM1,500 sebulan
Next post KKM nafi keluar arahan sedia saluran mengundi bagi kes positif COVID-19
Ubah saiz-+=