DEA beri ilmu digital kepada usahawan asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DURIAN TUNGGAL 13 Mei – “Saya terasa amat bertuah terpilih menjadi peserta program ini kerana di sini banyak ilmu baharu yang dapat dipelajari.

“Ternyata banyak lagi selok-belok perniagaan yang saya belum kuasai antaranya cara pemasaran dengan betul,” itu kata peniaga makanan Jepun, Bong Jum Feng.

Jum Feng, 42, antara 150 peserta yang terpilih menyertai Projek ‘Digital Entrepreneurship Asnaf (DEA) yang dilancarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Maybank Islamik Berhad.

Menurutnya, sepanjang lima tahun menceburi bidang perniagaan dia tidak berapa mahir untuk mempromosikan produknya secara meluas kerana kurangnya pendedahan.

“Sepanjang tiga hari mengikuti program ini baru saya sedar rupanya banyak ilmu perniagaan yang belum saya tahu dan di sini kami diberikan pendedahan.

“Menariknya juga saya kini lebih faham cara bagaimana menggunakan media sosial sebagai medium mempromosikan produk dihasilkan,” katanya.

F5726054 A7c2 4430 8e47 C213ab52ff16
Jum Feng

Bekas pekerja kilang itu ditemui selepas Majlis Peluncuran Digital Entrepreneur Asnaf (DEA) yang disempurnakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan, di UTeM, pada Ahad.

Katanya, menariknya juga sepanjang program ini peserta secara tidak langsung dapat bertukar dan berkongsi pandangan yang boleh membantu memperbaiki lagi perniagaan yang diusahakan.

“Kami memang bertuah kerana bukan sahaja dapat pelbagai ilmu dan perkongsian malah dapat ikuti kursus secara percuma, jika di luar sudah pasti bayaran dikenakan ribuan ringgit.

“Sebagai mualaf juga saya turut mendapat bimbingan daripada MAIM (Majlis Agama Islam Melaka), selepas ini saya akan cuba perbaiki dan luaskan lagi perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Projek DEA yang julung kali diadakan itu turut membabitkan Sinergi Ilmu Resources Sdn. Bhd. dengan kerjasama MAIM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Projek DEA yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada syarikat perbankan terkemuka itu diperkasakan melalui tiga strategi dan objektif utama iaitu mengeluarkan peserta dari kemiskinan dan meningkatkan ekonomi asnaf, mengenal pasti potensi asnaf sebelum bergelar usahawan serta penyusunan program usahawan yang khusus bagi usahawan asnaf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post Pelajar 17 tahun cedera jatuh tergelincir dari tingkat lima PPAM
Next post Ops Rempit: JPJ, polis sita 79 motosikal
Ubah saiz-+=