Projek Demonstrasi Grid Pintar: Melaka dipilih antara 28 bandar di dunia

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 15 Sept. – Projek Demonstrasi Grid Pintar yang dilaksanakan menjadikan Melaka terpilih sebagai negeri perintis dalam Malaysia bagi menjayakan kelestarian teknologi maklumat dan komunikasi inovatif dalam pembangunan bandar pintar.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, negeri ini telah dipilih antara 28 bandar dari 11 negara di dunia ini bagi menjalankan projek demonstrasi grid pintar tersebut.

SULAIMAN melakukan gimik perasmian majlis tersebut.

“Projek anjuran Global Environment Facility (GEF) itu merupakan sebahagian daripada komponen bagi Projek Pembangunan Bandar Lestari dengan membangunkan projek grid pintar di negeri ini.

“GEF merupakan pembiaya dana projek dan telah melantik United Nations Industrial Development Organization (UNIDO) sebagai pengurus projek di peringkat antarabangsa, manakala di peringkat nasional, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) telah dilantik sebagai agensi pelaksana.

SULAIMAN ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar di Melaka 2020.

“Di Melaka, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) merupakan rakan strategik dalam perlaksanaan ini selain rakan rakan pelaksana yang lain juga terlibat antaranya Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan TNB Research SDN BHD (TNBR). Melalui inisiatif bersepadu ini mampu mencapai objektif pengurangan pelepasan gas rumah hijau sekali gus mampu menambah baik asas pembangunan pintar terhadap amalan hijau bagi pengangkutan awam dan mobiliti di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar di Melaka 2020 di Hotel Ames, di sini petang tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Zainal Abidin Abu Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad, pegawai kanan kerajaan negeri serta wakil-wakil jabatan.

Pada masa sama menurutnya, projek perintis yang dijalankan dalam tempoh lima tahun itu dibiayakan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Projek yang dilaksanakan ini bakal memberi manfaat yang akan dinikmati lebih daripada 930,000 penduduk di negeri ini.

“Malah para penyumbang teknologi turut menerima manfaat daripada sistem yang diperkenalkan ini seperti akses data masa nyata (real-time data), pengurusan tenaga yang lebih efektif yang sekali gus membawa kepada penjimatan tenaga yang berkesan.

“Perkara ini seiring dalam hasrat kerajaan negeri dalam memaksimakan penggunaan teknologi tenaga lestari ke arah pembangunan bandar mampan di negeri ini,” katanya.

Views:

576
Kongsi :
Previous post COVID-19: Malaysia catat 23 kes baharu, satu lagi kluster dikesan
Next post Diskaun 50 peratus untuk individu lahir 16 September
Ubah saiz-+=