Projek ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM11.01 bilion berbanding kos asal – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak RM11.01 bilion berbanding kos keseluruhan asal berjumlah RM85.97 bilion yang diluluskan pada 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kos keseluruhan ECRL lebih rendah walaupun ada penambahan permohonan dari segi kos berikutan laluan yang baharu dan projek tersebut masih terikat dengan perjanjian yang lama.

“Walaupun ada sedikit penambahan kerana pembiayaan tambahan bagi menampung penjajaran semula projek ECRL yang kita luluskan, tetapi ini menyebabkan keseluruhan kos itu diturunkan sebanyak RM11.01 bilion,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Anwar berkata kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek yang diluluskan dahulu dan tidak membawa banyak perubahan kerana ia akan melambatkan proses pelaksanaan dan mempersulitkan kerja-kerja serta rundingan yang sedia ada.

“Tahniah kepada Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya yang dapat bantu mempercepatkan proses rundingan ini dan akhirnya dapat menurunkan kos keseluruhannya ketimbang (berbanding) apa yang diluluskan pada tahun 2016,” katanya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang melibatkan 59 terowong itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan akan dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.

–BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Previous post Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 dibatalkan
Next post Pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan