Projek insinerator Melaka kini di fasa akhir kelulusan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MERLIMAU 28 Oktober – Pembinaan Loji Sisa ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang hampir pasti akan direalisasikan memandangkan ia kini berada di peringkat terakhir kelulusan.

Memaklumkan perkara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri amat berharap pembinaan loji baharu itu diluluskan memandangkan tapak pelupusan sedia ada kini semakin tenat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan sedaya upaya memastikan projek tersebut dapat direalisasikan, selain berharap ia disegerakan.

“Yang terbaharu saya difahamkan pembinaan insinerator ini sudah berada di fasa terakhir di antara pihak kerajaan dengan konsesi.

“Memandangkan ini antara perkara di bawah tanggungjawab saya, kita akan sentiasa mengejar tarikh bermulanya projek ini memandangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri berharap pembinaan itu disegerakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Politeknik Merlimau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka Rosli Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Ismail Hasim dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post Tiada unsur jenayah dikesan kes lelaki mati dalam tahanan – Bukit Aman
Next post Pembinaan Plaza Tol Genting Highlands di jalan persendirian – LLM
Ubah saiz-+=