Projek Melaka Gateway bakal buka 45,000 hingga 60,000 peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 1 Februari – Projek Melaka Gateway di Pulau Melaka oleh KAJ Development (KAJD) bakal membawa limpahan ekonomi cukup besar bukan sahaja kepada negeri bahkan penduduk setempat.

Ia berikutan, projek mega itu dijangka bakal membuka 45,000 hingga 60,000 peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi projek itu ia sekali gus bakal mengubah Melaka menjadi sebuah ekonomi berdaya saing yang menawarkan jumlah pekerjaan bernilai tinggi.

“Sudah pasti apabila ia siap, ekosistem ini akan membesar dan ekonominya turut mengembang jauh lebih besar.

“Dalam tempoh 10 tahun, KAJD berani untuk mengatakan bahawa lebih 30,000 orang boleh menjadi pekerja mahir dalam industri maritim, termasuklah dalam sektor kapal persiaran menerusi pembinaan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT).

“Jadi, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama supaya pprojek ini berjalan lancar dan seterusnya membawa Negeri Melaka ke satu tahap lebih tinggi dalam ekonomi berteraskan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Di Antara Melaka International Cruise Terminal Sdn Bhd (MICTSB) Bersama Global Ports Holding PLC (GPH) di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Majlis menandatangani Perjanjian kerjasama itu diwakili Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman bagi pihak MICTSB, manakala GPH diwakili Ketua Pegawai Operasinya Stephen Xuereb.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4183
Kongsi :
Previous post Melaka bakal miliki Terminal Kapal Persiaran terbesar
Next post Taman karavan di Sungai Rambai
Ubah saiz-+=