Melaka bakal miliki Terminal Kapal Persiaran terbesar

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 1 Februari – Melaka bakal memiliki sebuah terminal kapal persiaran antarabangsa terbesar negara, yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek dinamakan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) itu merupakan sebahagian daripada komponen Melaka Gateway di Pulau Melaka, yang dibina dengan kos RM682 juta dan dijangka siap pada 2026.

Menurut Ab Rauf, apabila siap kelak, terminal berkenaan mampu menampung dua unit Kapal Kelas Oasis di Dermaga Luar; satu unit Kelas Kuantum serta satu unit kapal persiaran Voyage of the Sea di Dermaga Dalam secara serentak.

Selain itu, MICT juga bakal muncul sebagai sebuah jeti persiar terbesar di Asia Tenggara yang mampu menggamit seramai 15.8 juta pelancong domestik dan antarabangsa menjelang tahun 2036 dengan keseluruhan perbelanjaan sehingga RM9 bilion.

“Projek terminal ini juga akan mengubah industri pelancongan Melaka daripada sektor ekonomi mingguan kepada ekonomi 365 hari.

“Saya selalu bercakap mahu membawa Melaka ke dunia luar, dan ternyata Melaka berupaya membawa dunia ke negeri ini.

“Jadi, terminal ini akan membawa lebih ramai pelancong luar negara, sekali gus menjadi satu lagi katalis ekonomi kepada sektor pelancongan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Di Antara Melaka International Cruise Terminal Sdn Bhd (MICTSB) dan Global Ports Holding PLC (GPH) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD), Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman mewakili MICTSB, manakala GPH diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Stephen Xuereb.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Ab Rauf berkata, terminal tersebut bakal dikendalikan oleh GPH yang merupakan operator kapal persiar terkemuka dunia dan pernah mengendalikan beberapa pelabuhan ternama seperti di Caribbean, Mediterranean, serta rantau Asia Pasifik termasuk pelabuhan komersial di Montenegro.

“Kerajaan Negeri Melaka juga akan memberikan kerjasama yang baik kepada GPH bagi memastikan pembinaan projek terminal kapal persiar itu berjalan lancar untuk membawa Melaka ke satu tahap lebih tinggi dalam ekonomi berteraskan pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

791
Kongsi :
Previous post Abang maut, dua adik cedera motosikal terbabit kemalangan
Next post Projek Melaka Gateway bakal buka 45,000 hingga 60,000 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=