Sorting by

×

Projek penternakan ikan dalam sangkar diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER LIMAU 17 Mac – Jabatan Perikanan tidak akan membiarkan projek penternakan ikan dalam sangkar di Kuala Linggi, di sini terbiar begitu sahaja selepas tergendala sejak Dis lalu.

Sebanyak 70,000 anak ikan tilapia merah akan dilepaskan ke dalam 64 sangkar bagi menggantikan anak ikan yang terlepas akibat banjir besar pada 18 Dis lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon menjelaskan, jabatan itu tidak akan membiarkan projek bernilai kira-kira RM400,000 itu menjadi projek gajah putih.

“Banjir besar yang melanda daerah Lubok Cina pada 18 Dis lalu menyebabkan ikan dalam sangkar terlepas selepas hanya empat hari dimasukkan ke dalam sangkar.

“Ia tidak melemahkan semangat kami dan 16 nelayan yang dipilih sebagai peserta projek berkenaan, sebaliknya kami akan memasukkan anak ikan baharu tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan setiap sangkar yang berukuran 3×4 meter itu tidak mudah rosak, jabatan itu melaksanakan kerja menambah baik struktur sangkar.

Menurutnya, untuk tujuan itu, sauh rumah sangkar yang dipasang pada dasar Sungai Linggi akan diperkukuh bagi mengelakkan jaring ikan tercabut akibat dibawa arus dasar sungai.

“Sangkar dan rumah sangkar dibina melalui pelaburan RM400,000 di lokasi pertembungan antara air masin laut dengan air tawar Sungai Rembau.

“Kami sudah memasang sauh yang sukar tercabut dari dasar sungai di bahagian kiri dan kanan, selain depan dan belakang keseluruhan rangkaian sangkar dan kami akan menambah baik demi ketahanan sangkar menghadapi arus dasar sungai yang deras,” katanya.

Beliau berkata, dengan kadar kemasinan air antara 10 hingga 15 di perairan itu berbanding 30 di laut, ikan tilapia merah sesuai hidup dalam air payau dan rasanya lebih lazat berbanding tilapia air tawar.

Projek seumpama itu sudah dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kelantan dan Perak dan di Kuala Linggi adalah yang pertama seumpamanya di Melaka, katanya.

Sementara itu, Ketua nelayan bagi projek itu, Azmi Mohd Nordin, 57, berkata beliau difahamkan anak ikan akan dilepaskan pada 26 Mac ini, sekali gus memberikan tanggungjawab besar kepada nelayan untuk menjayakan projek berkenaan.

“InsyaAllah anak ikan tilapia merah akan dilepaskan pada tarikh berkenaan dan kami tidak sabar untuk menjalankan tugas memeliharanya untuk dipasarkan selepas tiga atau empat bulan,” katanya.

Selain Azmi dari Pangkalan Nelayan Ramuan Cina Kecil, turut dipilih sebagai peserta ialah nelayan sungai dari Pangkalan Paya Lebar, Telok Berembang, Linggi dan Tebing Urut serta nelayan pinggir laut di Kuala Linggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3637
Kongsi :
Previous post Pakej penginapan dan hadiah misteri untuk pengunjung bertuah A’Famosa Iftar Buffet
Next post 150 pegawai, anggota PDRM pantau bazar Ramadan Melaka
Ubah saiz-+=