Projek penyuraian trafik Melaka bakal terlaksana

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 24 Februari – Projek penyuraian trafik bagi mengatasi kesesakan di negeri ini bakal direalisasikan selepas kerajaan mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berita gembira diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani itu disambut baik penduduk Negeri Melaka.

Rahmad berkata keutamaan beliau sebagai Exco bertanggungjawab adalah menyuraikan trafik dari Banda Hilir ke Semabok dengan nilai anggaran projek lebih RM700 juta dan kedua dari persimpangan Bukit Katil ke Semabok membabitkan kos RM300 juta.

“Syukur walaupun tidak dapat keutamaan untuk projek nombor satu dan hanya diluluskan yang kedua, sekurang-kurangnya jalan ini nanti apabila siap dapat membuat menyuraikan trafik menghala masuk ke Bandar Melaka.

“Apabila siap nanti pengguna boleh membuat pilihan untuk menggunakan laluan sama ada Jalan Tun Hamzah seterusnya ke Semabok yang menghubungkan Lebuh AMJ atau Lebuh Ayer Keroh. Hasrat kita terlaksana,” katanya.

Sementara itu beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan RM150 juta bagi pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang turut membabitkan Negeri Melaka.

Beliau berkata sebelum ini Kerajaan Negeri mengangkat permohonan untuk 64 unit bas awam dan perancangan itu akan dilaksanakan tahun ini.

“Daripada RM150 juta yang diluluskan mungkin Negeri Melaka akan terima antara RM50 juta hingga RM60 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1516
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2023 bawa manfaat besar kepada Melaka – KM
Next post Menyingkap kisah Kubur Belanda
Ubah saiz-+=