
PROMOSI PELANCONGAN PREMIUM MELAKA DI PASARAN TIMUR TENGAH
AYER KEROH 3 Mei – Promosi pelancongan premium kepada pasaran Timur Tengah menjadi antara agenda yang dibawa Kerajaan Negeri pada Arabian Travel Market (ATM) 2025 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang mengetuai delegasi Kerajaan Melaka berkata, menerusi ATM 2025, pelbagai cadangan kolaborasi telah dipertimbang bagi memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan global.
Jelas beliau, perkara itu antara dibincangkan sewaktu sesi libat urus bersama Orient Travel yang diwakili Pengurus Besarnya, Waseem Rahmany.
“Menerusi sesi ini juga, turut dibincangkan cadangan kolaborasi bagi pembangunan pakej pelancongan eksklusif bersama rakan agensi pelancongan terkemuka UAE.
“Pertemuan ini memperlihatkan komitmen Melaka untuk menembusi pasaran mewah dan menarik pelancong berkualiti tinggi dari rantau Teluk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut menyertai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam pertemuan rasmi bersama Menteri Pelancongan Goa, India Rohan A. Khaunte.
Jelas beliau, pertemuan dua hala itu membuka lembaran baharu kerjasama pelancongan antara dua tapak warisan dunia, Melaka dan Goa.
“Ia memberi fokus kepada pertukaran budaya, promosi bersama dan peluang pelaburan dalam sektor pelancongan sejarah dan warisan.
“Penyertaan aktif Negeri Melaka di ATM Dubai 2025 bukan sahaja mempromosikan kempen #VisitMelaka, malah memperkukuh peranan Melaka sebagai hab pelancongan strategik yang bersedia menerima limpahan pelancong dari pelbagai rantau dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.