Sorting by

×

ANUGERAH PRESTASI CEMERLANG SUNTIK SEMANGAT GURU MUDA JAIM TERUS TABUR BAKTI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 4 Julai – Pengiktirafan diterima daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjadi suntikan semangat buat 149 penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 untuk terus mencurahkan bakti dalam bidang pendidikan Islam.

Afidah Azman, 33 berkata, pengiktirafan itu merupakan anugerah pertama diterimanya sepanjang hampir sedekad bergelar pendidik dan menjadi kenangan bermakna sebelum memulakan kerjaya baharu sebagai guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berkongsi kegembiraannya Afidah berkata, dia sudah menerima surat tawaran untuk berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam KPM dan kini hanya menunggu penempatan rasmi sahaja.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas pengiktirafan daripada JAIM dan menganggap anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang pendidikan khususnya Pendidikan Islam.

“Saya juga bersyukur kerana selepas hampir 10 tahun dalam dunia pendidikan, saya diberikan rezeki untuk berkhidmat sebagai guru KPM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 JAIM yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dia berasal dari Kampung Seri Minyak, Merlimau, berkata perjalanan untuk bergelar seorang guru bukanlah mudah kerana pernah mengajar di pelbagai institusi pendidikan termasuk pusat tahfiz, pra-sekolah dan sekolah rendah sambil menyambung pengajian peringkat sarjana.

Tambahnya, pengalaman mengajar di pelbagai peringkat telah mematangkan dirinya sebagai seorang pendidik, namun mengajar murid sekolah rendah tetap menjadi pilihan kerana minat yang mendalam terhadap pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya memang berharap ditempatkan di sekolah rendah kerana di situlah minat dan jiwa saya. Mengajar kanak-kanak memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.

“Pada saya menjadi guru bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan sepanjang hayat dan apabila kita memilih menjadi guru, amanah itu perlu dipegang sampai bila-bila. Tugas seorang pendidik bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi membentuk jiwa dan masa depan anak-anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post MIHF 2026 SASAR 530 USAHAWAN, NILAI JUALAN RM20 JUTA
Next post MELAKA PERINCI DASAR BAHARU KAWAL SELIA NGO PENGURUSAN JENAZAH