Sorting by

×

MELAKA PERINCI DASAR BAHARU KAWAL SELIA NGO PENGURUSAN JENAZAH

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERKAM 4 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan mengadakan perjumpaan bersama agensi terlibat untuk memperincikan dasar dan garis panduan baharu bagi mengawal selia penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan jenazah di negeri ini dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun, berdaftar dan mematuhi standard ditetapkan.

Katanya, dasar baharu itu antara lain akan menetapkan semua NGO terlibat dalam pengurusan jenazah perlu berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Malaysia (ROS) dan disyaratkan untuk berdaftar di bawah MAIM.

“Langkah itu penting bagi memastikan setiap perkhidmatan pengurusan jenazah dilaksanakan mengikut garis panduan di tetapkan selain untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pada masa kini kita sedang memperkemaskan satu dasar baharu yang akan mewajibkan NGO berdaftar dengan ROS dan pada masa sama disemak serta diselaras di bawah MAIM dan perkara ini akan diperincikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian  pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Al-Faizin Kampung Bukit Tembakau yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Md Azhan berkata, walaupun terdapat NGO yang menjalankan khidmat secara sah di bawah ROS, masih wujud keperluan untuk pihak tersebut mematuhi garis panduan agama dan prosedur ditetapkan.

“Kita tidak nafikan memang ada pihak yang menjalankan perkhidmatan secara baik dan sah, namun belum berada di bawah kawal selia MAIM, sebab itu kita mahu wujudkan satu sistem yang lebih teratur.

“Penyeragaman dasar itu dijangka memperkukuh sistem pengurusan jenazah di negeri ini agar lebih profesional, integriti serta selaras dengan kehendak syarak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post ANUGERAH PRESTASI CEMERLANG SUNTIK SEMANGAT GURU MUDA JAIM TERUS TABUR BAKTI
Next post MELAKA LANCAR KEMPEN TUNAI ZAKAT SAHAM, POTONGAN GAJI ZAKAT