
MIHF 2026 SASAR 530 USAHAWAN, NILAI JUALAN RM20 JUTA
PENGKALAN BATU 3 Julai – Melaka kembali menjadi tumpuan industri halal dalam dan luar negara pada 7 hingga 9 Ogos depan.
Ia bersempena penganjuran Melaka Halal International Festival 2026 (MIHF’26) yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron berkata, festival edisi ketiga tahun ini bakal berlangsung lebih meriah dengan sasaran penglibatan 530 usahawan dari dalam dan luar negara.
Istimewanya, beliau berkata, MIHF’26 bakal menjadi platform terbaik bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari seluruh negara kerana ia bukan hanya menyediakan platform jualan, bahkan turut membuka peluang kepada usahawan mendapatkan pensijilan halal bagi produk mereka menerusi kursus dan perkongsian ilmu yang disediakan.
“Setakat ini kita telah mendapat kerjasama baik daripada usahawan di seluruh negara, selain turut mendapat kerjasama dari negara luar seperti China, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Bangladesh.
“MIHF’26 ini dapat menarik minat pelbagai negara kerana mereka bukan hanya dapat mempamer produk, bahkan turut berminat menjaga kualiti produk mereka menerusi standard halal kerana seluruh dunia tahu standard halal Malaysia adalah yang terbaik.
“Jadi, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kita akan membantu syarikat-syarikat ini termasuk usahawan tempatan kita meningkatkan kualiti produk mereka melalui pensijilan halal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil. 2 / 2026 anjuran MAIM Holdings Berhad yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIM Holdings Berhad Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka Azzeman Omar dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Mohd Sori; Pengurus MAIM Bentara Security Sdn Bhd Datuk Shafrie Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Tambah beliau, selain usahawan, MIHF’26 turut menyediakan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga sebagai jualan produk, taklimat dan kursus keusahawanan, sesi padanan perniagaan serta penampilan khas karakter animasi tempatan di bawah Monsta Studio seperti Papa Zola dan BoboiBoy.
Jelas Amirul, sepanjang tiga hari penganjurannya, disasarkan 150,000 pengunjung akan memeriahkan festival berkenaan, di mana unjuran itu meningkat selepas menerima sambutan hebat pada edisi tahun lalu dengan 130,000 pengunjung.
“Selain itu, kita turut menyasarkan nilai jualan RM20 juta daripada urus niaga sepanjang tiga hari MIHF’26 berlangsung,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

