Sorting by

×

DUN SERKAM TERIMA DUA MASJID BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERKAM 3 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyuburkan syiar Islam diterjemahkan menerusi pembinaan dua lagi masjid baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang sudah siap sepenuhnya dan dibuka kepada komuniti Muslim sekitar bagi melaksanakan pelbagai aktiviti memberikan manfaat untuk semua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, pembinaan kedua-dua masjid baharu tersebut telah siap sepenuhnya pada awal tahun ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM12.8 juta.

Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, kemudahan itu melibatkan Masjid Jamek Al-Faizin di Kampung Bukit Tembakau dan Masjid Jamek Al-Rasyidin di Serkam Darat.

“Masjid Jamel Al-Faizin dibina dengan kos RM6.8 juta manakala Masjid Jamek Al-Rasyidin di Serkam Darat dengan kos RM6 juta, kedua-dua masjid jamek ini menggunakan reka bentuk yang sama.

“Kedua-dua masjid ini mampu menampung lebih 1,300 kapasiti jemaah dalam satu masa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Al-Faizin Kampung Bukit Tembakau yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, pembinaan masjid baharu di kedua-dua lokasi dalam DUN Serkam bertujuan menampung pertambahan penduduk dan jemaah di kawasan terbabit.

“Apabila siapnya kedua-dua masjid ini, telah membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa selaras dengan pertumbuhan kawasan penempatan baharu.

“Ini juga adalah salah satu manifestasi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post TYT RASMI MASJID JAMEK AL-FAIZIN KAMPUNG BUKIT TEMBAKAU
Next post MIHF 2026 SASAR 530 USAHAWAN, NILAI JUALAN RM20 JUTA