
220 ACARA MENARIK SEPANJANG TAHUN GAMIT PELANCONG KE MELAKA
BANDA HILIR 4 Julai – Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 dilihat mampu memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, festival berkenaan merupakan antara 220 acara yang disusun dalam kalendar warisan Negeri Melaka bagi menyokong sasaran kerajaan negeri menarik 19 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia.
“Sejumlah 220 acara telah disusun dalam Kalendar Acara Melaka termasuk Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival sebagai antara tarikan utama.
“Festival yang memasuki edisi ke-16 dan ke-18 ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan keunikan warisan Melaka kepada masyarakat tempatan serta pelancong antarabangsa.
“Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai juadah tradisional yang diwarisi turun-temurun, malah berpeluang menghayati budaya, permainan tradisional, seni persembahan, kraftangan serta pelbagai elemen warisan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah.
Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad.
Mengulas lanjut, ujarnya, kedua-dua festival itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah mengangkat, memelihara dan mewariskan khazanah kulinari, seni budaya serta warisan Melaka, selain memperingati pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


