
WRUR SERKAM: ISU GERAN TANAH 50 PENDUDUK TAMAN PONDOK INDAH HAMPIR SELESAI
SERKAM 4 Julai – Isu geran tanah membabitkan kira-kira 50 penduduk Taman Pondok Indah kini berada pada peringkat akhir penyelesaian hasil intervensi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, isu tersebut antara aduan diterima sepanjang pelaksanaan WRUR DUN Serkam dan kini sedang dalam proses untuk diselesaikan.
Katanya, isu tersebut merupakan aduan diselesaikan dalam jangka masa pendek kerana ia membabitkan agensi berkaitan dan sedang dimuktamadkan secara berperingkat.
“Insya-Allah proses penyelesaian membabitkan isu geran tanah penduduk di Taman Pondok Indah ini akan selesai dalam masa terdekat.
“Proses penyelesaian ini berjalan lancar hasil tindakan bersepadu agensi terlibat dan ia sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Al-Faizin Kampung Bukit Tembakau yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, pelaksanaan WRUR itu bukan sahaja menjadi platform mendengar masalah rakyat, malah berperanan mempercepatkan tindakan penyelesaian secara lebih berfokus dan berkesan.
“Program ini memberi ruang kepada kita untuk turun padang, mendengar sendiri isu rakyat dan memastikan setiap aduan diambil tindakan sewajarnya.
“Komitmen berterusan semua pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri membolehkan sebahagian besar aduan yang diterima dapat diselesaikan secara berperingkat dan teratur selain pendekatan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


