PRU-15: BN Melaka tunggu semboyan berbunyi

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MASJID TANAH 28 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan hanya menunggu semboyan dibunyikan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata BN di setiap parlimen di Melaka sudah bersedia.

Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, BN Melaka menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan tarikh yang sesuai dalam jangka masa sehingga Mei 2023.

“Suka tidak suka, PRU tetap akan berjalan iaitu dalam tempoh sebelum tarikhnya matang pada Mei tahun hadapan, jadi dalam tempoh itu perlu melaksanakan PRU.

“Dalam tempoh itu jugalah parlimen boleh dibubarkan, yakni pada bila-bila masa sahaja, namun ia mengikut pertimbangan dan perkiraan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk memberikan tarikh yang sesuai. BN Melaka di setiap Parlimen telah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sumbangan Petrol dan Kit Makanan anjuran Fazil Group di Petronas Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, setiap parti ada strategi tersendiri dan BN pula hanya menunggu semboyan dibunyikan.

“Insya-Allah, pada PRU kali ini kita akan mengulangi kemenangan seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, ikutkan andaian, ramai yang mampu buat andaian namun kita mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi kesemua kerusi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1153
Kongsi :
Previous post RM965,000 baik pulih, bina baharu rumah nelayan Melaka
Next post Anak Melaka kini bergelar juara dunia – KM
Ubah saiz-+=