PRU-15: DUN dibawah BN bubar serentak dengan pembubaran parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

 

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun katanya DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

“Kerajaan negeri di bawah BN sangat prihatin, bahawa kita tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan.

“Maka kami mengambil keputusan bahawa negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak akan mengadakan PRN berasingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan tidak akan membubarkan DUN di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala PAS turut membuat keputusan sama di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk mengekalkan lapan parti sebagai ‘friends of (mesra) BN’ dan sedang meneliti permohonan tujuh parti daripada ‘friends of BN’ itu untuk menjadi parti teras, sekali gus menjadi calon atas tiket BN pada PRU15.

Tanpa mendedahkan nama parti berkenaan, beliau berkata BN sedang melihat kesesuaian parti-parti yang menawarkan calon itu sebelum merumus formula dalam mencapai keputusan bersama BN.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata BN bersetuju untuk memasukkan kesemua manifesto yang dicadangkan MIC ke dalam manifesto BN dengan mengambil kira sumbangan masyarakat India kepada negara.

Antara manifesto yang dicadangkan MIC adalah meminta komitmen daripada BN pelaksanaan kedua-dua Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosio-ekonomi Masyarakat India (JKMPSI) dan Pelan Tindakan Masyarakat India 2.0.

Sementara itu mengulas kerjasama BN dan PAS, Ahmad Zahid berkata BN berpendirian kerjasama dengan PAS perlu bersifat menyeluruh, dan menyifatkan cadangan kerjasama parti itu untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 sebagai satu muslihat.

“Kalau mahu bekerjasama, biarlah bekerjasama secara total, bukan kerana merundingkan kononnya ada kerusi bagi mengelak tiga penjuru,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2134
Kongsi :
Previous post BN Hang Tuah Jaya siap sedia hadapi PRU15
Next post Mesyuarat khas MT UMNO malam ini bincang PRU-15
Ubah saiz-+=