Puteri UMNO nafi mesyuarat cadang Sulaiman dilantik Pengerusi BN, UMNO Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR GAJAH 14 Mei- Puteri UMNO Alor Gajah menafikan dakwaan cadangan UMNO Bahagian Alor Gajah untuk menukar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu dibuat dalam mesyuarat.

Ketuanya, Nurashiqin Alias berkata kenyataan yang dikeluarkan pemangku Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman itu bercanggah dari keputusan mesyuarat.

Ujarnya, meskipun dia tidak hadir ke mesyuarat terbabit kerana menghantar kedua ibu bapanya menunaikan Umrah, namun percanggahan itu jelas tidak benar selepas beliau sendiri bertanya kepada ahli yang hadir.

“Keputusan yang mesyuarat ambil hanyalah menyokong kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Melaka lalu sehingga tamat penggal.

“Dan tidak pula membincangkan untuk menukar posisi dan jawatan Pengerusi Perhubungan (UMNO) Negeri kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Pada saya kenyataan itu tidak mewakili parti lebih kepada ‘personal’ atau cadangan individu kerana dalam Perlembagaan UMNO, untuk menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri adalah dalam kalangan ketua bahagian dan Datuk Seri Utama Sulaiman bukan ketua bahagian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurashiqin menyarankan untuk mana-mana individu dalam parti khususnya untuk tidak membuat kenyataan semberono kerana ia akan menggoyangkan keutuhan parti.

Ujarnya, jika berlaku permasalahan dalam parti, wajar diselesaikan secara dalaman dan bukan membuat kenyataan secara terbuka.

“Bila jadi isu begini, ia menjadi tamparan hebat kepada BN dan UMNO seba kita tidak lama lagi akan diadakan PRU (Pilihan Raya Umum), jadi kepercayaan rakyat terutamanya orang muda jadi semakin ‘jauh’.

“Mereka mengeluh tidak habis-habis isu pangkat dan mereka makin menyampah dengan parti UMNO, itu menjadi kegusaran Puteri,” katanya.

Terdahulu menerusi laporan media semalam, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah, Rospandi membuat kenyataan UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan kepada parti itu supaya segera melantik Sulaiman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan dan BN Melaka yang baharu.

Katanya, langkah itu bagi mengukuhkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1897
Kongsi :
Previous post Perajurit Muda TUDM jauhi aktiviti tidak sihat, menyalahi undang-undang negara
Next post Kenaikan harga tiket muzium tampung kos penyelenggaraan tinggi
Ubah saiz-+=