Rahimin, Sharul Lalli antara penerima Anugerah Tokoh Khas Maulidur Rasul

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BUKIT PALAH 19 Okt – Bekas Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani antara sembilan individu yang menerima Anugerah Tokoh Khas sempena Sambutan Maulidur Rasul di peringkat negeri di sini hari ini.

Semua anugerah berkenaan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Rahimin menerima Tokoh Muhammad Al-Fateh dalam acara Majlis Anugerah Khas Rasul Auditorium Masjid yang diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

RAHIMIN Bani

Beliau yang kini menjawat jawatan Pegawai Tugas-tugas Khas Agama JAIM berkata, penganugerahan itu memberikan motivasi kepada dirinya untuk terus memberikan khidmat dan bakti terhadap membangunkan agama Islam di negeri dan negara ini.

“Harapan saya kepada masyarakat Islam, marilah kita bersatu-padu bagi memperkukuhkan saf kepimpinan, merapatkan hubungan persaudaraan sebagai satu Keluarga Malaysia, selaras dengan tuntutan agama.

“Dalam suasana hari ini, kita perlu bersama-sama dengan pihak berkuasa bagi menangani jangkitan wabak COVID-19,” katanya yang ditemui dalam majlis berkenaan.

Dalam pada itu, turut menerima anugerah bagi Tokoh Umar Abdul Aziz, bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki.

SHARUL Lalli

Sharul yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Selangor berkata, Al-Quran dan sunnah Nabi menjadi pegangan dalam dirinya ketika menjalankan tugas sebagai penjawat awam.

“Insha-Allah apa juga yang kita lakukan itu perlu dilaksanakan dalam penuh keikhlasan, selain melaksanakan tugas dengan suci hati dan fokus terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

“Di mana jua kita berada sama ada duduk di bawah mahupun di atas, masing-masing mempunyai peranan namun saling berkait, itulah yang menjadi pegangan kepada kita,” katanya.

Program berkenaan bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti itu, diadakan dalam suasana norma baharu, dengan dihadiri kira-kira 200 tetamu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post Gerakan akan pecat ahli cuba sabotaj calon PN
Next post UMNO masih belum putus kerjasama dengan parti lain – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=