Sorting by

×

Rahman Shaari Sasterawan Negara ke-15

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA, 22 Jun – Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) Datuk Rahman Shaari dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15, umum Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.

Radzi dalam sidang media mengenai Sasterawan Negara ke-15 di sini berkata seramai sembilan panel terlibat dalam pemilihan Sasterawan Negara ke-15 yang bermesyuarat sejak September 2021 bagi menilai 12 pencalonan dengan tiga daripadanya telah disenarai pendek.

Radzi berkata Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Radzi berkata Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000, selain menerima penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan menerima kemudahan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Rahman yang kini seorang penulis bebas dilahirkan di Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis pada 5 Sept 1949 dan pernah bertugas sebagai seorang guru, pegawai bahasa dan pensyarah di institut pengajian tinggi awam.

Beliau juga pernah menerbitkan 16 buku akademik, 10 novel, terlibat dalam penghasilan kamus, penyusunan buku selain penulisan skrip drama pentas dan televisyen.

Rahman pernah memenangi tempat pertama sayembara menulis esei dan kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1977, Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986 dan Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada 2013.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2062
Kongsi :
Previous post Keputusan rayuan kerajaan berhubung kewarganegaraan anak lahir luar negara pada 5 Ogos
Next post WTC 2022 UTeM julang Ikon Keusahawanan Teknikal Wanita
Ubah saiz-+=