Rakyat dapat ‘lepas geram’ beraya di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Rata-rata rakyat di negeri ini mengakui dapat melepaskan rindu beraya sakan pada Aidilfitri tahun ini menerusi penganjuran rumah terbuka yang dianjurkan kerajaan negeri dan wakil rakyat.

Ibu dan anak Nur Fazilawati Rohani, 43 dan Nur Atirah Huzaini, 26 berkata, selepas terkurung selama dua tahun dan tidak dapat merasai kemeriahan beraya, mereka tidak melepaskan peluang untuk menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan di negeri ini.

Meskipun terpaksa menempuh kesesakan memandu dari Pantai Puteri, namun ia tidak menjadi penghalang untuk mereka bersama-sama hadir memeriahkan majlis dan mengenali pemimpin negeri dengan lebih dekat.

NOOR Fazillah Watty

“Sebab sudah dua tahun tidak dapat beraya betul-betul, jadi tahun ini memang kami semangat untuk datang ke setiap jemputan rumah terbuka.

“Hari ini sahaja, lebih lima rumah terbuka akan kami hadiri daripada pagi sehingga malam dan untuk sepanjang Syawal sahaja sudah puluhan rumah terbuka kami sertai kerana kami tidak mahu melepaskan peluang yang ada selepas lebih dua tahun dalam suasana pandemik,” kata mereka kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Durian Tunggal, Mohd Kamarul Johari, 45, berkata, kehadirannya bersama keluarga di Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) adalah bertujuan untuk memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

MOHD Kamarul

“Saya dan keluarga ingin merasai sambutan bersama pemimpin negeri dan melihat sendiri wajah pemimpin-pemimpin selepas kita melalui Pilihan Raya Negeri (PRN), November lalu.

“Setakat ini, alhamdulillah, saya memang berpuas hati dengan pentadbiran negeri yang berjaya memimpin mengikut apa yang telah dijanjikan,” katanya.

Majlis yang diadakan bermula jam 2 hingga 6 petang itu turut dihadiri masyarakt berbilang kaum dalam merasai sendiri perbezaan dan kemeriahan budaya di Malaysia.

Seorang pengunjung yang berasal dari Taiping, Perak, Tee Hong Beng, 31 mengakui sambutan Aidilfitri di Melaka lebih meriah berbanding negeri kelahirannya menerusi penganjuran Rumah Terbuka mega di MITC.

TEE Hong Beng

“Kebetulan saya pulang ke kampung isteri saya di Gajah Behrang dan ternampak iklan rumah terbuka ini, jadi saya dan isteri mengambil kesempatan untuk datang.

“Lagipun, saya sangat menggemari juadah lemang dan rendang dan di sini, saya gembira kerana dapat merasai juadah tradisional masyarakat Melayu itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5201
Kongsi :
Previous post Konsep kluster atasi kekurangan pakar geriatrik dan psikiatri
Next post Hamzah akan bertemu menteri dalam negeri Thailand bincang isu keselamatan negara
Ubah saiz-+=