Konsep kluster atasi kekurangan pakar geriatrik dan psikiatri
AYER KEROH 28 Mei – Malaysia berdepan isu kekurangan doktor pakar geriatrik iaitu sakit tua dan psikiatri ekoran pertambahan warga emas yang berdepan pelbagai penyakit susulan apa yang terjadi semasa pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata meskipun negara berdepan kekurangan pakar dalam dua bidang terbabit namun isu itu mampu diatasi dan ditangani.
“Kita perlukan lebih ramai lagi doktor pakar dalam bidang sakit tua atau geriatrik dan psikiatri tetapi tidaklah serius kerana kerajaan sentiasa berusaha dapatkan lebih ramai pakar.
“Malahan sekarang ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amalkan sistem kluster di negeri-negeri yang kekurangan pakar bagi mengatasi isu tersebut.
“Sebagai contoh ramai doktor pakar di Hospital Taiping yang memayungi hospital-hospital kecil lain di negeri itu yang kekurangan doktor pakar, apabila diperlukan doktor pakar akan pergi ke hospital terbabit bagi memberikan khidmat dan membuat ‘follow up’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR), di sini, hari ini.
Persidangan dijalankan secara maya dan fizikal berlangsung selama tiga hari itu membabitkan 350 peserta dalam kalangan doktor pakar tempatan dan luar negara.
Sementara itu, mengulas lanjut Noor Azmi berkata, bagi mengatasi isu kekurangan pakar psikiatri pula, KKM telah mempunyai 21 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh negara.
Katanya, sekiranya ada keperluan di hospital-hospital kecil, pakar-pakar dalam bidang tertentu akan ke hospital-hospital tersebut dengan berkonsepkan kluster bagi mengatasi isu kekurangan pakar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.