Terima kasih jayakan Rumah Terbuka Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kerjasama yang erat di antara semua jabatan dan agensi kerajaan negeri menjadi penyumbang kepada kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari berkata, penglibatan pelbagai pihak nyata membantu dalam menjayakan penganjuran Rumah Terbuka yang pertama kali diadakan dalam tempoh dua tahun.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak media yang membantu mempromosikan majlis itu dan tidak dilupa kepada rakyat Melaka yang sudi memeriahkan majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu.

ZAIDI

“Semua pihak terlibat tidak kiralah jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lain. Ini bukan kerja yang dilakukan dua, tiga orang tetapi boleh dikatakan semua terlibat dalam menjayakan majlis kali ini.

“Terima kasih diucapkan kerana sambutan yang diterima memang di luar jangkaan. Insya-Allah jika diberi peluang kita akan cuba menganjurkan majlis yang lebih meriah dengan konsep dan kaedan berbeza selepas ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis menyifatkan kemeriahan sambutan kali ini sebagai satu penanda aras baharu peningkatan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri pada hari ini.

Katanya, bukan sahaja rakyat Melaka, bahkan rakyat dari negeri-negeri lain turut bersama memeriahkan majlis berkenaan dan mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan kerajaan negeri.

MUHAMMAD Jailani

“Alhamdulillah kita dapat lihat sokongan rakyat kepada kerajaan negeri yang mana ia menunjukkan satu perkembangan baik khususnya dalam meningkatkan kemesraan dan silaturahim di antara rakyat dengan pemimpin.

“Insya-Allah, jika diberi kesempatan lagi, saya akan mencadangkan agar sambutan ini diadakan di kawasan terbuka dan pada masa sama menyelitkan aktiviti bersama rakyat sebagai salah satu tarikan di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1513
Kongsi :
Previous post Trend solat dengan kipas, orang ramai diminta buat laporan
Next post Konsep kluster atasi kekurangan pakar geriatrik dan psikiatri
Ubah saiz-+=