Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada rakyat Palestin – PM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PUTRAJAYA 15 Mei – Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia terus menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala usaha dan sumbangan dihulurkan amat bermakna bagi rakyat Palestin.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin.

“Saya juga menyeru saudara dan saudari sekalian agar memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan di sini hari ini.

Perdana menteri turut meminta rakyat mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel.

Malaysia juga katanya, akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa.

“Melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menumbang sebanyak USD10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020. Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

“Selain itu, bagi membantu Kerajaan Palestin membendung wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu satu juta pelitup muka, 500,000 pelindung muka (faceshields) dan 500,000 sarung tangan getah,” katanya.

Semua sumbangan itu jelas Muhyiddin telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post Budak lelaki empat tahun lemas jatuh sungai
Next post Malaysia kutuk serangan zalim Israel ke atas Palestin – Muhyiddin
Ubah saiz-+=