Malaysia kutuk serangan zalim Israel ke atas Palestin – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PUTRAJAYA 15 Mei – Kerajaan Malaysia akan menerajui bersama Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan melalui telefon bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo hari ini yang mana kedua-dua pihak bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta selain turut menggesa komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera.

Selain itu, katanya, pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung pada esok yang mana Malaysia akan diwakili Menteri Luar Negeri untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin.

“Saya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya, Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin.

“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.

“Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam Perutusan Khas Isu Palestin, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengulangi pendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Jelas beliau, Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

“Malaysia juga akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada rakyat Palestin – PM
Next post Bapa EXCO Pelancongan Melaka meninggal dunia
Ubah saiz-+=