Ramadan waktu mengumpul pahala berganda

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

Ramadan adalah bulan istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Pada bulan ini, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada hamba-Nya yang melakukan amal ibadah. Bulan Ramadan menawarkan banyak kelebihan kepada umat Islam seluruhnya.

Umat Islam sudah pastinya berlumba-lumba mengerjakan amal kebaikan untuk mendapatkan keredaan dan mengumpul ganjaran daripada Allah SWT. Hal ini kerana, Allah SWT menggandakan pahala amalan yang dilakukan oleh hamba-Nya di dalam bulan Ramadan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah SWT Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 261).

Puasa bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan juga menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT antaranya muntah dengan sengaja, murtad, bersetubuh di siang hari, berkata perkara negatif dan sebagainya. Pada bulan Ramadan, syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Orang-orang yang berpuasa terlepas daripada bisikan syaitan dan tidak berkeinginan untuk melakukan perkara-perkara mungkar.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan amal. Umat Islam digalakkan untuk memberi kepada mereka yang memerlukan dan melakukan kebajikan. Hal ini dapat mendidik hati menjadi pemurah dan mewujudkan sifat belas kasihan pada orang lain. Bulan puasa Ramadan ini mempunyai hubungkait dengan ibadah zakat yang wajib ditunaikan iaitu Zakat Fitrah.

Zakat Fitrah merupakan amalan yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat Islam sepanjang bulan Ramadan yang mulia, bahkan Zakat Harta juga umat Islam mengambil peluang menunaikannya demi tuntutan agama dan memperolehi pahala yang berganda sekaligus membersihkan harta dan menyucikan jiwa.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah sebahagian dari harta mereka sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang keji)”.

Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 04/2022 yang bersidang pada 16 November 2022 (Rabu) telah berbincang dan bersetuju dengan kadar Zakat Fitrah bagi negeri Melaka tahun 1444H/2023M mempunyai tiga (3) kadar iaitu RM 7.00 bagi pengguna beras Super Spesial Tempatan / Super Tempatan, RM 14.00 bagi pengguna beras Super Import, Thai atau Siam, Wangi seumpamanya dan RM 21.00 bagi beras Basmathi yang dimakan oleh setiap individu Islam di negeri Melaka.

Allah SWT telah menganugerahkan malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan pada bulan Ramadan. Malam Lailatul Qadar mempunyai kelebihan kerana hanya boleh ditemui setahun sekali sahaja iaitu pada 10 malam terakhir Ramadan. Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan mendapatkan malam Lailatul Qadar.

Justeru, rebut peluang keemasan dengan memperbanyakkan amalan di bulan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan sebaiknya bulan Ramadan, dan dalam masa yang sama jauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah SWT. Semoga Ramadan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. Insya-Allah.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

Sekian terima kasih.

Tulus Ikhlas Dari,

(Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil)
Ketua Pegawai Eksekutif,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1939
Kongsi :
Previous post ‘Doktor’ jam Jalan Kee Ann
Next post Siasat segera penemuan puluhan bangkai, rangka kucing dalam kondominium
Ubah saiz-+=