Rasuah: Tiga pegawai imigresen direman lima hari

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PUTRAJAYA 10 Sept. – Tiga pegawai imigresen, seorang daripadanya wanita, direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 14 Sept ini selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, mereka yang berumur antara 33 dan 35 tahun ditahan antara pukul 12 tengah hari dan 5.50 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam ketika hadir memberi keterangan.

Mereka dibawa ke mahkamah kira-kira 9.50 pagi dengan berpakaian biasa dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, di mana pegawai terbabit berurusan dengan orang tengah bagi menguruskan pengeluaran pas bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini untuk kembali ke negara asal mereka.

Sumber itu berkata sebagai balasan, ketiga-tiga suspek dikatakan mengambil suapan antara RM300 dan RM500 bagi setiap pas yang dikeluarkan tanpa melalui STO.

Semalam, menurut sumber SPRM itu dua individu termasuk seorang pegawai imigresen turut direman lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata kesemua individu itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA

Views:

422
Kongsi :
Previous post Keluarga memerlukan gembira terima Rumah Prihatin
Next post Hampir 170,000 saman AWAS dikeluarkan sejak September 2018
Ubah saiz-+=