Reda diuji sakit buah pinggang

DUYONG 3 Disember – Dunianya gelap selepas dimaklumkan menghidap masalah buah pinggang tahap lima, malah doktor memaklumkan dia mempunyai masa kira-kira sebulan untuk hidup akibat kegagalan organ utama itu.

Namun perkhabaran itu tidak mematahkan semangat atau titik noktah untuk meneruskan kehidupan bagi Mazlinda Ahmad, 46, sebaliknya dianggap sebagai satu cabaran besar perlu diharunginya.

Dia yang baharu beberapa hari dibenarkan pulang ke rumah selepas ditahan untuk rawatan di wad di Hospital Melaka memberitahu, ketika ini bacaan darahnya amat rendah dan perlu menjalani rawatan dialisis agar badannya stabil.

“Doktor maklumkan, kalau saya tidak jalani proses cuci buah pinggang mungkin tempoh untuk saya hidup cuma sebulan sahaja. Dugaan ini besar, kerana saya adalah ibu tunggal segala kos rawatan ditanggung sendiri.

“Apa yang paling merisaukan saya adalah anak-anak. Bagaimana masa depan mereka jika perkara tidak diingini menimpa diri saya. Syukur sekarang ini saya masih boleh berjalan dan melakukan rutin harian seperti biasa walaupun tidak selincah dulu.

“Saya amat risau jika selepas ini keadaan tahap kesihatan semakin merosot, mungkin ketika itu mahu berjalan juga sudah terbatas, apa lagi untuk lakukan perkara lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Duyong, di sini, hari ini.

Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) ini buntu memikirkan hal kewangan untuk menyara lima anak berusia 10 hingga 20 tahun selain menampung kos rawatan dirinya.

WhatsApp Image 2022-12-03 at 2.22.34 PM (1)
TANGAN Mazlinda yang kehitaman akibat masalah buah pinggang

Mazlinda berkata, pendapatan bulanannya sekitar RM1,500 tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dialisis dianggarkan mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

“Setakat ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong juga ada maklumkan beliau akan membantu untuk ringankan beban saya. Selain rawatan dialisis saya juga terpaksa ambil 16 jenis ubat setiap hari. Harapan untuk meneruskan hidup tidak pernah luntur jadi saya turut amalkan pemakanan sihat agar kesihatan tidak merosot.

“Kakak yang simpati dengan dugaan saya lalui ini juga belikan susu khas, mungkin dia mahu saya sentiasa sihat dan sanggup membelanjakan wang sendiri,” katanya.

Wanita tabah ini memberitahu pada 2018 dia yang mempunyai penyakit darah tinggi disahkan doktor mengalami sakit buah pinggang tahap tiga dan lebih merisaukan masalah itu sudah menghampiri tahap empat.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu saya sihat, boleh ke sekolah dan mengajar seperti biasa. Namun sejak 8 November lalu tahap kesihatan saya tiba-tiba merosot, guru besar terpaksa membawa saya ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya juga bersyukur pihak sekolah amat memahami keadaan kesihatan malah rakan-rakan serta keluarga banyak memberi sokongan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1999
Previous post Dua TPM, 25 Ahli Kabinet angkat sumpah jawatan menteri
Next post Proses undi awal DUN Tioman, Parlimen Padang Serai ditutup