Remaja maut digilis kenderaan ‘ghaib’

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 8 September – Seorang remaja maut akibat parah di kepala dipercayai digilis sebuah kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) Bertam Setia, di sini, jam 12.40 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa dikenali sebagai Ng Jun Wei, 18, bekerja sebagai pembantu kedai telefon disahkan maut di lokasi kemalangan.

Christopher berkata, hasil siasatan awal mangsa dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Sungai Udang menghala ke persimpangan lampu isyarat Bertam Setia.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti menyebabkan dia terjauh dan digilis di bahagian kepala.

“Mayat mangsa ditemui di bahu sebelah kiri jalan. Siasatan awal mendapati hanya motosikal ditunggang mangsa berada di lokasi kemalangan.

“Mangsa dipercayai digilis kenderaan berikutan topi keledar yang dipakai pecah dan terdapat kesan serpihan tempurung kepala selain otak bertaburan di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut kemalangan itu masih diteruskan memandangkan tiada saksi bebas tampil memberi keterangan setakat ini.

Ujar beliau, polis juga sedang mengesan kenderaan yang terlibat bagi mengetahui punca kejadian.

“Kami meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.

“Saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adhwa di talian 011-2690 5852 bagi menyalurkan maklumat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3504
Kongsi :
Previous post TMM2024: Tambah kekerapan feri Indonesia di Kompleks ICQS
Next post Peserta RXZ Members 5.0 maut kemalangan di LPT2
Ubah saiz-+=