Remaja maut, motosikal langgar Proton Saga

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LINGGI 21 April – Remaja berusia 13 tahun maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah kereta di Kampung Tengah di sini, jam 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dan Proton Saga dipandu lelaki berusia 44 tahun.

KEROSAKAN bahagian belakang Proton Saga

Beliau berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan datang dari arah Kuala Linggi menghala ke Pekan Kuala Sungai Baru.

“Ketika tiba di lokasi Proton Saga berkenaan memberi isyarat ke kanan dan berhenti untuk membelok ke lorong di sebelah kanan untuk ke rumahnya.

“Pada masa yang sama motosikal ditunggang remaja berkenaan datang dari arah belakang terus melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan,” katanya.

KETUA Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Arshad berkata, penunggang beralamat di Taman Seri Gamelan, Sungai Baru Melaka yang cedera di kepala disahkan maut di lokasi kemalangan manakala pemandu Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pemandu Proton Saga dan saksi kejadian juga sudah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Alor Gajah untuk pemeriksaan kerosakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post Gudang jijik dipenuhi najis kucing ditutup 14 hari
Next post Gelinciran tanah resahkan ibu bapa SKSE
Ubah saiz-+=