Remaja tak mengaku rogol, amang seksual kenalan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 14 Dis. – Seorang pekerja kedai alat perkakasan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadapnya Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Asraf Rosli, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun enam bulan di sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, 19 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dilokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain mencadangkan jaminan sebanyak RM15, 000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Elesebet kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menghubungi dan menghampiri mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 13 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Views:

1548
Kongsi :
Previous post Taman tema RM600 juta bakal dibina di Klebang?
Next post Warga Bangladesh didenda RM10,000 rasuah pegawai imigresen
Ubah saiz-+=