Replika durian terbesar bantu promosi pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDA HILIR 7 Ogos – Kewujudan replika durian terbesar negara berhampiran Dataran Sungai Melaka, di sini adalah bertujuan untuk mempromosikan Melaka sebagai hab pelancongan warisan dan kulinari.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pembinaan replika itu dapat menyampaikan maklumat kepada pelancong bahawa Melaka juga merupakan destinasi bagi penggemar durian yang boleh merasai keenakan raja buah itu sepanjang tahun.

Ia berikutan wujudnya syarikat pengusaha durian yang mempunyai kilang di Serkam Halal Hab yang mampu menyediakan durian sepanjang tahun, malah turut mengeksportnya ke luar negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembinaan replika itu bukanlah bersifat kekal dan tidak akan sesekali menjejaskan kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menjawab dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen).

“Pelancongan di Melaka bukan sahaja (pelancong) dapat menikmati warisan sejarah di kawasan kota purba Melaka, tetapi juga bakal menikmati durian sambil menghargai peninggalan sejarah negara.

“Inovasi pelancongan ini (dilakukan) agar Melaka sentiasa vibrant dan relevan dalam industri pelancongan.

“Jadi saya nasihatkan YB Banda Hilir agar mengambil kursus pelancongan sebelum membuat komentari yang tidak memanfaatkan negeri.

“Nasihat saya, jika tidak dapat menyumbang kepada kebaikan dalam industri pelancongan, janganlah rosakkan usaha kerajaan menambah pendapatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2405
Kongsi :
Previous post Merdekakan kampung dari kekotoran
Next post Tampoi FC ‘gegau’ Liga Melaka Divisyen 1
Ubah saiz-+=